❀Bacalah dalam bahasamu❀


Animated Rainbow Moustache

Thursday, May 16, 2013

✿Belajar Membaca✿

Proses membaca mempunyai kaitan dengan proses penglihatan. Lambang, simbol, atau tulisan-tulisan yang dilihat pada satu permukaan dapat ditukarkan kepada sebuah persembahan minda yang dapat memberi sesuatu maksud. Mata berfungsi untuk melihat simbol, lambang,dan tulisan. Ketika membaca, mata akan bergerak mengikut garis dalam bahan yang bertulis. Mata akan tertumpu pada sesuatu bahagian dalam perkataan-perkataan dan ayat mengikut kelancaran pembaca. Bahan bertulis yang dilihat akan ditukar menjadi isyarat. Isyarat pula ditukar menjadi maklumat. Maklumat akan dihantar ke otak untuk proses pembentukan makna ataupun kefahaman.





Langkah pertama untuk membaca ialah mengenal pasti permukaan bercetak dan memecahkan kod perkataan. Seterusnya, kenal pasti bentuk ortografik dan kemudiannya memperoleh maksud perkataan berdasarkan kamus makna yang terdapat dalam pemikiran pembaca. Pembaca perlu ada strategi untuk memudahkan kefahaman diperoleh dengan cepat dan mudah. Strategi utama dalam proses memperoleh kefahaman ialah pembaca haruslah mempunyai motivasi dan tujuan.

Bahan yang mudah difahami akan memberikan motivasi kepada seseorang untuk membaca dan sebaliknya bahan yang sukar akan menyebabkan seseorang akan kehilangan motivasi untuk meneruskan pembacaan. Motivasi terhadap sesuatu bahan bacaan tidak seharusnya hilang hanya kerana bahan itu sukar dibaca dan difahami. Seseorang pembaca harus bijak mencari bahan bacaan yang lebih mudah difahami bagi meneruskan motivasi terhadap perkara yang ingin diketahuinya itu.





Tujuan pula dapat membantu kita untuk memahami sesuatu bahan bacaan. Membaca sudah semestinya mempunyai tujuan tertentu. Sebagai contoh, membaca untuk menghilangkan rasa bosan, membaca untuk mendapat ilmu, membaca untuk mengetahui harga barang, dan lain-lain lagi. Pembacaan mempunyai banyak tujuan. Dengan tujuan-tujuan inilah kita lebih mahu membaca secara serius tentang sesuatu perkara.

Dalam belajar membaca, guru perlu menyokong murid dengan memberikan panduan berkenaan cara untuk memahami sesuatu frasa atau perkataan dengan mengaitkan frasa atau perkataan tersebut dengan maksud keseluruhan petikan. Guru boleh menambah kefahaman murid dengan menggunakan gambar rajah bagi menjelaskan maksud secara bersepadu. Guru juga boleh memberikan sokongan pemahaman dengan memberikan pelajarnya peluang untuk bertanya tentang pemahaman yang diragui.

Setelah mempunyai kemahiran yang kukuh untuk memahami, guru bolehlah melepaskan pelajar tersebut untuk memahami bahan bacaannya sendiri tanpa sokongan guru. Misalnya, proses ini dapat dilakukan dengan dengan menentukan bahan yang bersesuaian, panjang pendek, kedalaman kandungan bahan yang dikemukan kepada pelajar, dan penggunaan bahasa dalam petikan.





Selain itu, guru boleh mengadakan sesi persidangan membaca bagi pelajar yang memerlukan sokongan yang lebih kerap. Dalam sesi ini, guru perlu banyak menjalankan teknik permodelan, iaitu guru membaca dan diikuti oleh pelajar yang lemah tersebut dalam satu tempoh yang singkat tetapi kerap. Guru juga boleh melaksanakan teknik memecahkan ayat yang panjang kepada ayat yang lebih pendek supaya lebih mudah difahami bagi kelas atau kumpulan yang bermasalah memahami petikan yang sukar.

Seorang pembaca yang aktif akan menggunakan pelbagai strategi untuk memudahkan pemahamannya. Ketika membaca, mereka akan menguji pemahaman dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan. Mereka juga akan mengintegrasi antara maklumat baru dan lama dengan membuat hubungan, taakulan, mencipta pembayangan, atau menokok tambah apa yang diperkatakan oleh penulis.

Kebiasaannya seorang pelajar terpaksa banyak membaca. Dalam konteks sekolah bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca untuk pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh itu guru perlu membimbing pelajar pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi. Secara umumnya seseorang perlu menguasai dua teknik membaca, iaitu membaca pantas dan membaca kritis.

Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.





Teknik Membaca Skimming dan Scanning

Teknik skimming dan scanning sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan atau bahan bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal, dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perenggan untuk mendapat gambaram umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan.

Dalam pembacaan sesebuah buku pula fokus diberikan kepada bahagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab, dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.

Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.

Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan. Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.



Teknik Membaca KWLH


KWLH adalah singkatan bagi yang berikut:

K(know)♥Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W(want)♥Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L(learned)♥Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H(how)♥Bagaimana mendapatkan maklumat tambahan yang berkaitan (untuk membaca seterusnya.

Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah suatu teknik membaca kritis di mana pembaca:

♥Mengingat dahulu apa yang telah diketahui.
♥Membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui.
♥Melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih).
♥Mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan.
♥Menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya)

Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar:

♥Mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca.
♥Menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya.
♥Menentukan apakah lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan.

Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.

Know(K)♥Apa yang sudah diketahui?
Want(W)♥Apa yang hendak diketahui?
Learned (L)♥Apa yang telah dipelajari/ diperoleh?
How(H)♥Apa lagi maklumat tambahan diperlukan?





Teknik Membaca SQ3R

SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.

SQ3R adalah singkatan bagi:
S (survey)♥tinjau
Q (question)♥soal/tanya
R (read)♥baca
R (recite)♥imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review)♥baca semula

Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.

Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.

Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.

Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga. Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.

Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.





Dalam proses kemahiran belajar, kemahiran membaca seharusnya tidak dipandang remeh oleh pelajar. Kemahiran membaca yang betul akan dapat meningkatkan pemahaman dengan lebih berkesan. Oleh itu teknik membaca yang betul amat penting dalam suatu proses pembelajaran.

Berikut adalah beberapa teknik dapat membantu mempertingkatkan kemahiran membaca:

Membaca secara BERHATI-HATI

ஐBeri tumpuan terhadap apa yang dibaca.
ஐCuba fahami fakta-fakta penting sepenuhnya.
ஐElakkan gangguan radio dan televisyen.

Membaca secara MENYELURUH

ஐBacaan hendaklah menyeluruh daripada pengenalan hingga ayat terakhir.
ஐJangan anggap bahagian pengenalan kurang penting.
ஐBahagian pengenalan memberi gambaran tentang isi kandungan bab.

Membaca secara BERULANG-ULANG

ஐBacaan berulang membantu mengingat fakta dengan lebih baik.
ஐIsi-isi juga dapat difahami secara mendalam.
ஐIni dapat mengelakkan daripada tertinggal membaca fakta penting.

Membaca dalam SUASANA yang SELESA

ஐLampu hendaklah dipasang dengan terang.
ஐSuasana tempat membaca hendaklah sunyi dan senyap.
ஐUdara sekitar mestilah mencukupi.
ஐSuhu bilik sederhana. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Jika perlu pasang kipas.

Berasa dalam KEADAAN selesa
ஐDuduk dengan betul.
ஐPastikan tidak demam, pening, selsema, dan sebagainya.
ஐJangan berbaring ketika membaca. Seseorang itu mungkin tertidur atau mengantuk.

Baca secara BERPERINGKAT

ஐPeringkat permulaan : baca sekali imbas untuk mendapatkan isi keseluruhan.
ஐPeringkat seterusnya, membaca isi untuk mendapatkan maklumat: pada peringkat ini teknik mengingat dan menulis nota digunakan.

Cuba BENTUK SOALAN ketika membaca

ஐGunakan kaedah 1 husband 6 wives.
ஐDengan membentuk soalan, seseorang akan lebih ingat isi yang dibaca.

CATATKAN isi yang dibaca

ஐDengan mencatat, seseorang pelajar dapat menggunakan tiga kaedah sekali gus: membaca, mencatat, mengingat.
ஐKetika mencatat pelajar akan berfikir “Apakah yang perlu dicatat?” Ingatan pelajar menjadi lebih tajam.

Gunakan BAHAN PEMBELAJARAN LAIN ketika membaca

ஐPastikan pen, highlighter, kamus, penanda buku ada di sisi.
ஐTandakan isi-isi penting dengan highlighter.
ஐGunakan kamus untuk mencari perbendaharaan kata yang sukar.
ஐGunakan penanda buku untuk merujuk semula sesuatu bahagian.
ஐGunakan pen untuk menulis isi-isi penting.





No comments:

Post a Comment

Mari berborak